Topik 9 : Pengurusan Tingkahlaku (D20202097067)




Pendahuluan

     Pengurusan membawa maksud proses merancang, mengorganisasikan, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan manakala tingkahlaku pula merupakan perlakuan atau percakapan seseorang individu. Ia juga merupakan semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur, dan nilai dari sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara sedar, tidak sedar atau separa sedar. Jadi dapat disimpulkan bahawa menurut Dr Ragbir Kaur A/P Joginder Singh (2009), beliau berpandangan pengurusan tingkahlaku ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai. Dalam rancangan ini, guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus ditunjukkan dalam bilik darjah. Disamping itu, guru harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan contohnya membetulkan tingkah laku murid yang salah dengan menunjukkan mereka tingkah laku yang betul.


Faktor-faktor yang menyebabkan masalah tingkahlaku

      Antara tingkahlaku negatif yang mempengaruhi murid adalah keadaan persekitaran rumah seperti tidak dapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini kerana, ibu bapa merupakan orang yang paling dekat perhubungan dengan murid. Sekolah pertama bagi murid-murid adalah rumah mereka. Pengalaman daripada ibu bapa mempengaruhi perlakuan murid. Ibu bapa yang kurang meluangkan masa di rumah untuk anak-anak disebabkan kesibukan bekerja menyebabkan anak-anak merasa dipinggirkan dan tidak dihargai mendorong terjadinya tingkah laku bermasalah ini di sekolah. Anak-anak yang tidak mendapat cukup perhatian di rumah selalunya cuba mendapatkan perhatian daripada guru di sekolah. Seseorang anak selalunya mendapat perhatian daripada ibu bapa apabila berkelakuan tidak senonoh. Jika mereka tidak mengganggu ibu bapa selalunya dia tidak diberi perhatian. Situasi ini menggalakkan mereka berkelakuan negatif dan tidak menggalakkan mereka berkelakuan positif. Murid ini beranggapan perlakuan tidak senonoh adalah cara untuk mendapatkan perhatian guru.

      Selain itu, pengaruh media massa juga menjadi faktor yang menyebabkan masalah tingkahlaku di sekolah berlaku. media massa seperti televisyen, surat khabar, majalah dan sebagainya yang menyampaikan informasi kepada orang ramai dengan kadar   yang   cepat   dan   dalam   masa   yang   singkat sangatlah memainkan peranan yang besar yang mendorong murid-murid untuk meniru tingkah laku yang dipaparkan melalui kaca-kaca televisyen dan sebagainya. Adegan-adegan ganas dan lakonan artis-artis yang melampau yang ditayangkan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kelakuan pelajar. Murid-murid pada tahap ini biasanya mudah mengikut dan meniru dengan apa yang mereka lihat. Tanpa kawalan dari ibu bapa semasa menonton dan membeli bahan-bahan bacaan berupa majalah-majalah telah mendorong murid untuk bertingkahlaku negatif di dalam bilk darjah. Menurut Albert Bandura 1925 pula, manusia secara semulajadi belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian.

      Seterusnya, pengaruh rakan sebaya antara faktor utama masalah tingkahlaku murid terjadi. Menurut Klausmerier et. al (1975) di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejuran, kemesraan dan lain-lain, murid-murid lebih dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya berbanding daripada pengaruh ibu bapa. Murid-murid lebih cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang mereka berada di dalamnya. Murid diperingkat awalan ini akan bersungguh mencuba bertingkah laku seperti tingkahlaku kumpulannya. Dalam aspek pengaruh rakan sebaya kajian menunjukkan pelajar menghisap rokok secara berkumpulan atau bersama rakan. Pelajar juga menganggap peraturan atau undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk kumpulan tersendiri dan mengadakan peraturan tertentu dan ahli kumpulan hendaklah mematuhinya. Hal ini mula menimbulkan masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan. Biasanya, apabila ahli kumpulan dipukul, mereka akan membalas secara berkumpulan (Dewan Masyarakat, April 1995).


Teknik-Teknik Pengurusan Tingkahlaku

      Tingkahlaku boleh diuruskan dengan mengaplikasikan beberapa teknik. Antara teknik-teknik tersebut adalah dengan menggunakan alat pengukuran personal, teknik pencegahan, dan tindakan pembetulan. Teknik pertama iaitu alat pengukuran personal yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kedekatan fizikal. Kaedah ini dilaksanakan dengan guru mendekati sendiri murid yang mempunyai masalah tingkah laku. Kaedah seterusnya adalah dengan menggunakan mobiliti fizikal iaitu dengan berjalan ke hadapan, ke belakang, ke tepi atau mengelilingi kelas sambil membuat pengawasan. Eksperisi wajah atau pandangan guru yang menyenangkan, menarik, marah, kecewa atau benci turut tergolong dalam teknik pertama ini. Kesimpulannya, guru perlu mahir dalam menggunakan teknik ini.

      Seterusnya, teknik kedua pula adalah berkaitan dengan pencegahan. Teknik ini dapat mengurangkan ketegangan dan menggalakkan proses pengajaran supaya menjadi lancar. Selain itu, melalui teknik ini iklim yang positif dan persekitaran yang terurus dapat diwujudkan. Maka bagi mewujudkan suasana seperti ini, antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan meminta murid supaya mematuhi rutin bilik darjah, membuat sistem mengutip buku serta murid menerima bentuk peraturan yang digubal. Guru juga boleh memberitahu tentang perlakuan yang diterima atau tidak.

      Teknik yang terakhir adalah dengan melaksanakan tindakan pembetulan. Tindakan ini dapat dilaksanakan dengan menangani masalah secara spontan dan menghentikan dengan baik tanpa merosakkan apa-apa. Di samping itu, pengubahsuaian tingkah laku positif dan menghentikan tingkah laku negatif serta mengharmonikan iklim bilik darjah juga dapat membantu dalam melaksanakan teknik tindakan pembetulan ini. Guru juga boleh menggunakan hukuman yang diketahui oleh murid dan relevan seperti ketuk-ketampi. Oleh yang demikian, jika murid masih melakukan tingkah laku bermasalah itu, guru boleh menukar tempat dan berjumpa dengannya selepas pengajaran. Melalui perjumpaan ini, guru boleh membimbing perlakuannya supaya menjadi lebih baik. Maka, guru haruslah sentiasa memperjelaskan atau mengingatkan mereka berkaitan dengan tingkah laku tersebut.

 

Prinsip-Prinsip Pengurusan Tingkahlaku

      Mengurus tingkahlaku memerlukan kemahiran guru yang khusus dalam bidang tersebut. Ia berlandaskan kepada prinsip-prinsip tertentu yang perlu dihayati dan dipegang oleh guru. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah prinsip peneguhan dan jenis-jenis pemerhatian. Peneguhan sangat penting untuk mengekal atau mengurangkan tingkah laku. Dalam membuat peneguhan yakni ganjaran yang diberikan hendaklah sesuai dan berkesan. Peneguh merupakan sesuatu objek atau situasi yang dapat meneguhkan atau mengekalkan tindak balas atau kelakuan pada masa kini atau memungkinkan peningkatan perlakuan pada masa akan datang. Peneguh yang diberi mestilah sesuatuyang disukai oleh pelajar.

      Selain itu, jenis pemerhatian. Pemerhatian yang pertama adalah pemerhatian yang boleh dijenis mengikut tujuan dan aspek yang hendak diperhati iaitu memerhati sesuatu perlakuan tanpa membuat tafsiran (interpreation) dan tanggapan (judgement) iaitu melapor apa yang dilihat sahaja dan menggunakan tafsiran bukan untuk penilaian semasa tetapi membuat hipotesis yang diperolehi selepas menemu bual individu yang berkenaan. Kedua, pemerhatian yang dibuat mestilah mengikut apa yang telah dirancangdan secara “open-ended” iaitu menilai atau memerhati kemahiran tertentu, pengetahuan, perlakuan atau sikap yang telah dikenal pasti serta menilai sesuatu yang wujud tanpa dijangka atau di luar perancangan pemerhati tetapi relevan dengan objektif penilaian tersebut. Manakala, yang ketiga adalah pemerhatian untuk jangka pendek dan jangka panjang. Pemerhatian yang dilaksanakan mengikut urutan dalam jangka masa berperingkat supaya mendapat dapatan yang berkesan dan bermakna tentang perkembangan proses atau peristiwa terhadap sesuatu tugasan.


Kesimpulan

       Tuntasnya topik ini berkait rapat dengan peraturan dan disiplin murid, pengurusan sosial dan salah laku serta pekeliling dan peraturan. Disiplin membolehkan aktiviti proses pengajaran yang dirancang oleh guru dapat dijalankan dengan teratur tanpa gangguan. Guru juga mestilah bijak dalam mencorak anak didiknya agar mereka tidak merasa tersisih dan melakukan salah laku. Pelajar memerlukan perhatian yang sama rata daripada guru dan hal ini haruslah dilaksanakan oleh guru tanpa ada unsur pilih kasih. Demi mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan, langkah sewajarnya daripada semua pihak patut dilaksanakan.


 

Rujukan

Abdul Munir Ismail. (2016, July). Pengaruh Media Massa Terhadap Akhlak Pelajar. [Kertas Persidangan]. Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/305474305_PENGARUH_MEDIA_MASSA_TERHADAP_AKHLAK_PELAJAR

Azizi Yahya, Mohd Najib Ab. Ghafar, Badrulzaman Baharom, (2016). Persekitaran Keluarga dan Kesannya Terhadap Tingkah Laku Devian Remaja. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Dewan Masyarakat (1995). Tingkah Laku Delinkuen. 9 –12.

Mohamad Khairi Haji Othman. (2016). Pembentukan Akhlak Pelajar Menerusi Aplikasi Teknik-Teknik Penerapan Nilai dalam Pengajaran. ThEe Online Journal of Islamic Education, 4(1), 58-70. https://ojie.um.edu.my/index.php/O-JIE/article/view/5248/3045

Ragbir Kaur A/P Joginder Singh (2009). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Rohani binti Abdullah, Nani binti Menon & Mohd Sharani bin Ahmad, Panduan Kurikulum Prasekolah. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2003.

Saayah Abu Menjadi, Guru Tadika. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd, 2007.

 

 













Ulasan