Topik 10 : Pengurusan Penasihatan Murid (D20202097067)

 




Pendahuluan

      Pengurusan membawa makna satu proses sosial yang dibentuk dan disusun bagi mewujudkan kerjasama penyertaan penglibatan ahli-ahli dalam organisasi untuk mencapai objektif yang ditetapkan manakala penasihatan pula mengikut Kamus Dewan (1994), penasihatan ditakrifkan sebagai ajaran, petunjuk yang baik, peringatan, menyusulkan, mengesyorkan atau pun menganjurkan kepada seseorang tentang hal. Maka dapat disimpulkan bahawa definisi pengurusan penasihatan murid boleh dinyatakan dengan rancangan atau pengawalan seperti ajaran yang baik untuk mengharmonikan sesuatu kumpulan iaitu pelajar sekolah demi kebaikan mereka. Komponen dan tujuan utama pengurusan penasihatan murid ini adalah untuk memberi bimbingan, nasihat dan mentoring kepada murid untuk membantu murid mengetahui cara-cara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka.


Bimbingan

      Definisi bimbingan merujuk kepada bantuan seseorang yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seseorang individu dari setiap peringkat usia. Tujuannya adalah untuk menolong mengarahkan hidupnya sendiri, membuat pilihannya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri (Crow & Crow 1960). Bimbingan juga adalah suatu konsep yang berkaitan dengan cara membantu orang lain atau suatu usaha menyediakan pengalaman untuk membantu pelajar memahami diri (Amla et al. 2006). Adapun dalam konsep pendidikan, bimbingan merupakan keseluruhan perancangan aktiviti-aktiviti dalam membantu pelajar mengalami cara-cara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka. Dari pandangan Shertzer dan Stone (1971) pula mendefinisikan bimbingan sebagai satu proses menolong individu untuk memahami diri dana lam sekelilingnya. Proses ini menunjukkan satu usaha yang berterusan dan melibatkan banyak langkah dalam mencapai matlamat. Bimbingan dilihat sebagai memberi perkhidmatan kepada pelajar yang normal.

       Selain itu, bimbingan juga merupakan pendekatan yang menggunakan kaedah lisan atau fizikal untuk membantu seseorang dalam menentukan matlamat, merancang tindakan dan memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek-aspek tertentu. Sebagai contoh, memberi tunjuk ajar untuk bertingkah laku yang baik atau memberikan strategi belajar yang berkesan. Dalam bidang bimbingan dan kaunseling, jenis bimbingan dan nasihat yang diberikan adalah berkaitan dengan aspek psikologi individu dan hubungannya dengan orang lain. Dalam konteks Malaysia, institut pendidikan khususnya di sekolah merupakan tapak permulaan bagi bidang ini. Maka secara amnya bimbingan boleh diertikan memberi fokus kepada potensi seseorang individu dan menolong seseorang individu itu membuat pilihan yang tepat.

       Di samping itu, dalam pengurusan penasihatan murid, guru-guru haruslah peka dan mengambil tanggungjawab mengetahui ciri-ciri bimbingan yang sesuai sebelum diaplikasikan. Antaranya, bimbingan merupakan aktiviti yang dirancang. Ia bukanlah kegiatan yang dilakukan secara kebetulan, secara tiba-tiba, tidak sengaja dan sambil lewa tetapi ia adalah satu kegiatan yang tersusun, sengaja, berencana, berterusan dan mempunyai arah tujuan. Seperti yang kita ketahui, di sekolah bimbingan disusun dan dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pelajar yang berkenaan dan mengikut skala keutamaan yang juga ditentukan berdasarkan keperluan pelajar dan kemampuan guru-guru. Kedua adalah bimbingan merupakan proses membantu individu atau kumpulan. Proses bimbingan di sekolah bukan sahaja menumpukan kepada seseorang pelajar sahaja malah lebih dari itu. Hal ini kerana, sesetengah pelajar juga agak malu jika ingin mengadu masalah atau meminta bimbingan seorang diri dan lebih terbuka jika mereka berada dalam satu kumpulan atau dalam bilangan yang ramai berbanding seorang diri. Jadi, guru-guru juga haruslah bersifat terbuka untuk menerima hal yang sedemikian. Ketiga, bimbingan tidak memaksa seseorang itu mengikut arah yang tertentu, melainkan membantu atau menolong individu mengikut arah yang sesuai dengannya dan yang terakhir adalah bimbingan yang diberikan kepada individu yang memerlukan bantuan untuk memecahkan permasalahan yang dihadapinya. Hal ini menunjukkan peranan penting dalam menghubungkan dan mengintegrasikan sekolah dan komuniti dan selaras dengan proses penilaian kendiri, baik berkenaan bimbingan itu sendiri mahupun kemajuan pelajar yang dibimbing, serta berkenaan dengan kemajuan pengetahuan, kemahiran, dan sikap guru-guru yang melaksanakannya.


Penasihatan

       Penasihatan membawa maksud nasihat yang diberikan merupakan kaedah menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat. Kaedah ini merupakan satu cara yang mudah untuk mengelakkan diri daripada memahami, memeriksa dan menjelajah masalah yang dihadapi, (Zuraidah, 1994). Menurut Gibson dan Mitchell (1999), mereka menyatakan nasihat yang digunakan bagi menyediakan klien dengan maklumat baru dan berguna. Nasihat yang diberikan juga berguna untuk mengajar individu tersebut untuk berfikir dan bertindak.  Mengikut Kamus Dewan (1994), nasihat ialah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan, mengusulkan, mengesyorkan ataupun menganjurkan kepada seseorang tentang pelbagai hal Dari segi konsep pula, penasihatan merupakan salah satu daripada beberapa mekanisme untuk membantu individu yang menghadapi masalah. Adapun individu yang sangat memerlukan kaedah penasihatan adalah golongan yang mempunyai masalah disiplin yang kritikal seperti contoh murid yang merokok, ponteng sekolah, dan seumpama dengannya.

       Berikut merupakan beberapa ciri-ciri penasihatan yang perlu diambil tahu oleh guru-guru yang berkenaan antaranya lebih memfokuskan kepada permasalahan yang dihadapi daripada menumpukan kepada diri individu yang bermasalah. Penasihatan ini lebih menjurus kepada bentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti kepada seorang lain. Orang yang berautoriti ini adalah orang yang lebih berpengalaman, banyak pengetahuan, mempunyai kelayakan dan pengiktirafan. Memberi nasihat merupakan strategi yang paling cepat untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dengan lebih efektif jika nasihat itu meninggalkan kesan.

       Terdapat lima fasa dalam proses bimbingan dan penasihatan untuk menangani isu dan masalah pelajar jika perlu. Fasa pertama adalah fasa kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar, dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Namun demikian, penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Pihak pelajar perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar. Fasa kedua adalah menguasai kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Guru sebagai penasihat dan pembimbing haruslah terlebih dahulu menguasai kemahiran untuk memudahkan mereka berkomunikasi melalui kaedah yang paling baik dengan pelajar. Pada fasa ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas. Antara kemahiran-kemahiran yang dicadangkan ialah, kemahiran perkembangan personaliti, kemahiran melayan dan kemahiran mendengar, kemahiran lisan (verbal) dan bukan lisan (non verbal), kemahiran mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan kemahiran asas teori dan teknik kaunseling dalam proses menolong. Melalui kemahiran ini, guru-guru akan lebih mendalami dan memahami latar belakang hidup seseorang pelajar dan mencuba untuk meneroka dunia pelajar. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini boleh dijalankan secara berperingkat dan merupakan asas menjadi guru pembimbing yang berkesan.

       Selain itu, fasa ketiga adalah proses mengenali pelajar. Pada fasa ini, semua guru dapat mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan mampu mengenalpasti pelajar yang memerlukan bimbingan dan penasihatan. Secara umumnya, pelajar yang memerlukan bimbingan ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu pelajar yang datang secara sukarela, pelajar yang di bawah pemerhatian, pelajar yang dikenalpasti sendiri oleh guru-guru sebagai memerlukan bimbingan melalui pemerhatian dan diagnosis. Tambahan pula, teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan. Seterusnya fasa keempat iaitu proses membimbing pelajar. Fasa ini secara khususnya, pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. Oleh kerana pelajar memerlukan perhatian yang khusus, guru pembimbing lebih dapat mendekati pelajar melalui bimbingan secara individu kerana pelajar merasakan dapat diberi perhatian sepenuhnya oleh guru manakala bimbingan kelompok melibatkan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah yang sama seperti program yang berbentuk motivasi, kemahiran pelajar, dan personal. Terdapat enam tahap dalam proses membimbing pelajar iaitu, membina hubungan, penerokaan, definisi masalah dan membina matlamat, alternatif penyelesaian dan pelan tindakan, melaksanakan tindakan dan penamatan. Fasa yang terakhir adalah analisis penilaian. fasa ini melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing.


Mentoring

       Pengertian mentoring mengambarkan wujudnya perhubungan berterusan antara individu (mentor) dengan individu atau sekumpulan individu (mentee) bertujuan meningkatkan tahap professionalisme mantee. Berdasarkan konsep mentoring, mentor perlu membimbing mentee untuk menjadi individu yang mampu mengembangkan potensi diri, sikap dan memberi panduan kepada mentee dalam mencari arah panduan yang betul dan siapa yang boleh membantu mereka dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi sama ada akademik mahupun peribadi. Pelbagai kaedah boleh dilakukan oleh mentor sebagai panduan untuk mencapai objektifnya. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam proses mentoring adalah aktiviti yang terancang di dalam mahu pun di luar bilik darjah, permainan serta membentuk kumpulan yang kecil untuk membincangkan sesuatu topik atau isu. Hal ini juga mempunyai motif utama dalam proses mentoring iaitu memberi peluang kepada mentee untuk menimba, mencuba dan menggunakan kemahiran yang mungkin kurang didedahkan dalam bilik darjah untuk panduan mereka yang menjalani kehidupan sebagai pelajar yang bertanggungjawab serta membolehkan mentee untuk meneroka idea-idea baru dengan yakin.

        Ciri-ciri mentoring yang sewajarnya dijadikan panduan adalah proses ini mementingkan perkembangan personal dan professional mentee yang berterusan untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Proses ini juga tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memudahkan sesuatu transisi dan memastikan berlaku perkembangan positif. Ia juga bertindakbalas terhadap kelebihan individu, nilai dan keperluan mentor dan mantee. Selain itu, proses ini akan membentuk kesedaran kepada pelajar agar mereka bertimbang rasa dan akur kepada kesilapan yang sukar dielakkan serta menerima kesilapan yang boleh diterima dan yang tidak.

        Seterusnya, terdapat empat proses mentoring yang perlu diketahui iaitu yang pertama adalah menjalin perhubungan. Perhubungan antara mentor dan mentee adalah aspek penting yang perlu dijalin semasa proses mentoring berlaku. Mentor dan mentee perlu menggunakan masa yang sesuai untuk mengenali satu sama lain supaya timbul rasa saling mempercayai dan jika ini berlaku dengan baik maka proses mentoring akan menjadi satu aktiviti yang mudah dan bermakna. Kedua adalah merunding persetujuan, mentor dan mantee perlulah bersama-sama menjana persetujuan yang perlu dilaksana dan dipatuhi oleh mereka semasa sesi mentoring. Perjanjian meliputi penyediaan jadual untuk sesi mentoring, mengenalpasti batasan serta cara dan teknik mentoring. Jika kerjasama dapat dibina, maka akan ia mewujudkan perhubungan yang harmoni. Ketiga adalah perkembangan professional mentee. Proses ini merupakan langkah utama mentoring kerana melibatkan fungsi dan peranan mentoring itu sendiri. Pada ketika ini, kedua-dua mentor dan mentee perlulah menentukan matlamat mentoring, menjana senarai latih-tubi dan aktiviti mentoring supaya matlamatnya tercapai. Terakhir adalah proses menamatkan perhubungan. Proses mentoring akan berakhir apabila matlamatnya tercapai di mana ia dinilai oleh mereka yang berkenaan. Perhubungan mentoring hendaklah berakhir dengan tahap pencapaian positif iaitu satu transformasi berperingkat kepada perhubungan yang kasual. Mentoring tidak sepatutnya berakhir tiba-tiba. Dalam kes tertentu pula, perhubungan mentor-mantee akan berkembang kepada sesuatu yang lebih kekal.

 

Kesimpulan

      Dapat dirumuskan bahawa pengurusan penasihatan murid amatlah penting di dalam sesebuah sekolah kerana pengurusan murid memainkan peranan yang penting dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah mereka jika masalah tersebut menggangu pelajaran mereka. Setiap guru hendaklah mempunyai kemahiran asas dalam kaunseling agar guru tersebut dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah mahupun meluahkan masalah mereka. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan penasihatan murid dalam persekitaran sekolah.


 

Rujukan

Cullingford, C. (Ed.). (2016). Mentoring in education: An international perspective. Routledge.

Fletcher, S. (2000). Mentoring in Schools: A Handbook og Good Practice. London: Kogan Page Ltd.

Gootman E. Marilyn. (1997). Caring Teacher’s Guide to Discipline, New Delhi: SAGE Publication.

Khadijah Rohani Mohd Yunus dan Nazariah Ab. Samad (editor). (2006). Siri Modul 1: Bimbingan & Penasihatan. Penerbit UPSI.

Muhd Mansur Abdullah, S. Nordinar Mohd Tamim. (2003). Proses Kaunseling. Selangor: Perpustakaan Negara.

Susanto, Ahmad. 2018. Bimbingan dan Konseling di Sekolah: Konsep, Teori, dan Aplikasinya. Jakarta: Prenadamedia

Zuraidah Abdul Rahman. (1995). Kaunseling dalam Pengurusan. Selangor: Times Book International.




Ulasan