Topik 1 : Sosiologi dan Pembelajaran

 



Pendahuluan


Merujuk Amir Hasan Dawi (2002), sosiologi merupakan satu kajian yang sistematik dan sainstifik yang mengkaji tentang manusia dan interaksi sosial mereka dalam masyarakat daripada pelbagai sudut. Ia memberi tumpuan kepada hubungan sosial yang mempengaruhi kepada tingkah laku manusia serta bagaimana ia berkembang dan berubah dalam membentuk kehidupan sosial mereka. Pembelajaran merupakan perihal pemerolehan atau pengubahsuaian serta pengukuhan bagi pengetahuan, tingkah laku, kemahiran, nilai atau keutamaan yang baharu atau sedia ada. Sosiologi pendidikan lebih dikenali untuk merangkumi kedua-duanya. 


Menurut Othman Ab Rahman et.al (2014), sosiologi pendidikan ialah sains sosial gunaan yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji pendidikan. la penting kepada para pendidik dan juga ibu bapa untuk memahami murid-murid, budaya dan masyarakat mereka. la melibatkan perhubungan antara tujuan pendidikan dengan kaedah pembelajaran, institusi pendidikan, memahami kurikulum, pengaruh politik dan juga agama. Kesimpulannya sosiologi pendidikan adalah kajian tentang masyarakat di dalam institusi pendidikan dengan menggunakan disiplin dan teknik sosiologi. 


Teori utama sosiologi


Sosiologi mempunyai teori-teori yang tersendiri untuk membentuk keberhasilan penggunaannya. Teori yang pertama adalah teori fungsinasionalisme. Teori fungsinasionalisme ini merupakan teori yang diterajui oleh Emile Durkheime yang mengatakan bahawa teori ini dikatakan masyarakat sebagai organisme hidup yang dianalisis dengan sebuah struktur yang saling melengkapi dan berfungsi antara satu sama lain. Contohnya, Durkheime di dalam bukunya Moral Education (1961) yang berkaitan dengan fungsi sekolah dan hubungannya dengan masyarakat. Melalui teori ini kita dapat melihat bahawa sesebuah sekolah mempunyai struktur sekolah yang dibentuk dan setiap ahli serta kakitangannya berfungsi untuk memastikan sekolah mencapai visi dan maklamat yang telah ditetapkan. 


Seterusnya, teori kedua adalah teori konflik. Teori konflik memberitahu kita bahawa konflik yang berlaku di antara invidividu atau kumpulan yang melibatkan kuasa dan kepentingan tersendiri yang akan mempengaruhi sistem pendidikan masyarakat. Konflik ini boleh berlaku di sekolah itu sendiri yang melibatkan guru-guru apabila terpaksa mengambil alih tugas mengenai pentadbiran dan tugas dalam mengajar secara serentak. Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik di antara kedua-dua tugas tersebut. Bagi murid pula, ia akan menimbulkan konflik apabila murid terpaksa menerima tekanan untuk belajar sedangkan mereka masih ingin bermain menyebabkan tercetusnya konflik di dalam jiwa untuk melakukannya.


Teori yang terakhir pula adalah teori interaksionisme. Teori interaksionisme merupakan teori bagaimana individu membentuk dan dibentuk oleh interaksinya dengan orang lain dan realiti sosial individu sama ada baik ataupun tidak.Contohnya, teori ini dapat menjadi kayu ukur di sekolah untuk mengetahui sama ada murid mempunyai perangai yang baik ataupun tidak melalui cara interaksi yang dilontarkan oleh murid kepada guru. Ia juga dapat dilihat melalui aktiviti harian yang dijalankan oleh murid kerana pendidikan juga dapat diperolehi dengan aktiviti yang dilakukan dalan kehidupan seharian seperti murid berinteraksi bersama orang lain di rumah iaitu ibu bapa atau jiran tetangga.


Kepentingan teori sosiologi dalam pendidikan


Sosiologi memberi banyak kepentingan dalam bidang pendidikan. Antara kepentingannya adalah membantu guru untuk memahami murid, budaya dan masyarakat. Ia merupakan persiapan guru untuk mengenalpasti lebih lanjut mengenai sikap dan tingkah laku murid serta menjadikan guru lebih cekap dalam menjalankan tugas. Hal ini dapat memberi kemudahan guru untuk membuat bahan pengajaran mengikut tahap penguasaan murid supaya dapat memberikan kefahaman dan pengetahuan mengikut peredaran zaman dan masa. Ini akan membantu murid untuk memahami perubahan dari segi pemikiran, daya berfikir dan seumpamanya.


Selain itu, dapat membuat ramalan yang tepat dalam mengetahui tingkah laku murid. Di dalam teori sosiologi ada yang disebut sebagai teori interaksionisme yang menunjukkan bagaimana cara individu membentuk interaksi. Melalui interaksi juga kita dapat mengetahui sikap dan tingkah laku yang akan ditonjolkan di hadapan guru. Jika interaksi murid dengan guru mampu mengeluarkan perkataan yang kasar maka guru dapat memastikan tingkah laku yang buruk di bawa oleh murid tersebut. Oleh itu, sosiologi dalam pendidikan amat penting kepada guru untuk di ambil berat dan mengkaji mengenainya secara mendalam.


Akhir sekali, teori sosiologi amat penting dalam pendidikan kerana dapat meningkatkan kebolehan masyarakat dalam kehidupan. Masyarakat yang mendapat pendidikan sejak di bangku sekolah mempunyai pengetahuan yang sedia ada dan dapat mempraktikkannya di dalam kehidupan ia akan memberi kemudahan untuk kelansungan dalam berinteraksi serta bekerja dengan majikan. Contohnya, jika seseorang mendapatkan perkerjaaan yang mempunyai majikan dan berada dalam komuniti yang berbeza, mereka dapat memahami dengan cepat bagaimana komuniti itu bersosial  kerana mempunyai asas dalam sosiologi sepertimana seseorang itu boleh berhubung dan berkomunikasi dengan baik serta memberi inspirasi untuk bekerja secara kolektif.


Implikasi sosiologi dalam bidang pendidikan


Terdapat beberapa implikasi sosiologi dalam bidang pendidikan itu tersendiri. Implikasi yang pertama adalah pendidikan mewujudkan ketidaksamaan sosial dalam masyarakat. Ketidaksamaan sosial dapat apabila berlakunya terbinanya sekolah yang berbeza daripada pelbagai aspek seperti kualiti guru, kualiti dalam pentadbiran serta persekitaran dalam pembelajaran. Contohnya, sekolah dipedalaman merupakan sekolah yang kebanyakkan tidak mendapat pencapaian akademik yang kurang cemerlang disebabkan kekurangan guru yang mempunyai kualiti yang tinggi dan mempunyai kemahiran dalam sesuatu subjek. Ia juga dapat diukur dengan persekitaran pembelajaran yang mempunyai kekurangan keperluan dalam pembelajaran seperti komputer untuk pencarian maklumat.


Seterusnya, implikasi sosial dalam bidang pendidikan juga menyebab berlakunya pengelasan murid kepada beberapa kumpulan. Secara amnya, kita mengetahui masih ada  beberapa sekolah yang menggunakan cara pengelasan murid mengikut kecerdasan masing-masing seperti kelas cerdik, sederhana cerdik dan kurang cerdik. Pendekatan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menyebabkan murid tidak mampu mengembangkan lagi tahap pengetahuan mereka. Hal ini kerana jika murid-murid dicampurkan tahap kecerdasan maka murid yang lemah dapat belajar dan mengulangkaji serta bertanyakan soalan yang tidak diketahui kepada murid yang lebih cerdik. Ia akan menambahkan lagi kefahaman kepada murid yang lemah.


Akhir sekali, sosiologi merupakan agen perubahan dan kemajuan sesebuah masyarakat dalam pendidikan. Guru merupakan orang yang bertanggungjawab untu memberi perubahan kepada murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selaras dengan kemajuan yang berlaku dalam negara. Guru perlu memperbaharui gaya penyampaian dan memantapkan lagi aktiviti yang perlu dijalankan di dalam kelas seperti memperbanyakkan aktiviti secara berkumpulan dan pencarian maklumat secara kendiri. Hal ini kerana perubahan zaman dan teknologi di hujung jari menyebabkan murid dikehendaki bergerak secara kendiri untu melatih diri supaya dapat berdikari untuk mencari maklumat dan menjadikan guru sebagai pemudahcara dalam pembelajaran. 


Penutup


Kesimpulannya, topik ini memberitahu kita mengenai kegunaan sosiologi dalam dunia pendidikan melalui teori-teori yang dikemukakan oleh beberapa tokoh yang terkenal. Selain itu, ia juga menerangkan kepada kepentingan sosiologi dalam pendidikan untuk kegunaan kepada kehidupan seharian kita. Sosiologi juga memberi implikasinya yang tersendiri dalam kehidupan yang memberi impak yang positif dan negatif. Oleh itu, topik sosiologi dan pembelajaran sangat membantu kepada bakal-bakal guru untuk membuat persediaan sebelum memulakan sesi pengajaran di sekolah.


Rujukan


Aimi Khairunnisa Abdul Karim & Nurliana Suhaini (2020), Kepentingan Teori Dan Ilmu Sosiologi Dalam Konteks Pendidikan Menurut Perspektif Ibnu Khaldun, Jurnal Tuah, 1(1), 41-53, https://kuim.edu.my/journal/index.php/JTuah/article/view/687.


Amir Hasan Dawi (2002), Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan (edisi kedua), Tanjung Malim: Quantum Books.


Maksum, A (2016), Sosiologi Pendidikan, Malang: Madani, https://core.ac.uk/download/pdf/146820399.pdf.


Othman Ab Rahman, Salhah Abdullah & Sapora Sipon (2014), Sosiologi Dalam Pendidikan (EAS3113) [edisi pertama], Universiti Sains Islam Malaysia, http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/7079/1/Sosiologi%20Dalam%20Pendidikan%20EAS%20311325.pdf.


Ulasan