Pendahuluan
Menurut Ghazali Din dan Abu Hassan Abdul (2016), kepimpinan ialah satu proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan. Setiap yang terlibat dengan proses interaksi boleh dianggap sebagai memegang peranan tertentu yang membezakan antara satu sama lain dengan pengaruh iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut mematuhi. Kepimpinan yang dipengaruhi oleh masa dan situasi demi mencapai matlamat bersama.
Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), organisasi adalah kesatuan atau susunan yang terdiri daripada bahagian-bahagian dalam satu pertubuhan atau kumpulan untuk tujuan tertentu untuk kepentingan bersama. Organisasi juga merupakan satu kerangka yang tersusun dengan baik dan rapi serta teratur mengikut kelayakan dan tugas masing-masing. Oleh itu, gaya kepimpinan dan organisasi diperlukan di sekolah supaya pergerakan serta tugas-tugas guru dapat bergerak dan berjalan dengan lancar yang memerlukan kepada pemimpin dan gerak kerja.
Gaya kepimpinan
Setiap pemimpin memerlukan keupayaan diri yang perlu ditonjolkan dalam kepimpinannya supaya rakyat di bawahnya dapat menerima arahan yang diberikan seperti pengetua atau guru besar di sekolah. Antara gaya kepimpinan yang perlu ditonjolkan adalah gaya kepimpinan autokratik. Kepimpinan ini memerlukan kepada pemimpin untuk memberikan arahan yang banyak dan keputusan yang diambil dibuat oleh dirinya sendiri. Pemimpin yang memiliki gaya kepimpinan jarang dan tidak berminat untuk melibatkan dirinya bersama dengan ahli-ahlinya yang lain. Di samping itu, segala keputusan dan perancangan yang dibuat serta gerak kerja hanya ditentukan oleh pengetua tanpa mengadakan perbincangan dengan guru-guru yang lain menyebabkan guru tidak dapat menyuarakan pendapat masing-masing. Melalui kepimpinan ini akan melahirkan guru-guru yang hanya bergantung kepada arahan pengetua. Penggunaan gaya ini relevan jika digunakan sekali sekala sahaja oleh pengetua.
Selain itu, pemimpin juga memerlukan kepada gaya kepimpinan demokratik yang merupakan seorang pemimpin yang menggalakkan semua kakitangannya melibatkan diri dalam membuat perbincangan mengenai sesuatu keputusan atau tindakan. Kepimpinan ini dapat memberi peluang kepada ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau cadangan. Gaya ini selalu digunakan oleh pengetua di sekolah untuk mengadakan mesyuarat bulanan atau tahunan sekolah. Contohnya, guru-guru diberi peluang untuk mengutarakan pendapat dan cadangan masin-masing dalam mesyuarat untuk membuat keputusan manakala pengetua menerima dan berbincang untuk mendapat keputusan. Keputusan dan cadangan diambil berdasarkan persetujuan majoriti melalui undian setiap guru.
Seterusnya, gaya kepimpinan yang perlu diamalkan adalah gaya kepimpinan lepas-bebas atau lebih dikenali sebagai Laissez-Faire. Gaya ini merupakan kepimpinan yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada kakitangannya dalam segenap aspek. Gaya ini bertentangan dengan gaya kepimpinan autokratik yang hanya pemimpin sahaja yang membuat keputusan tetapi gaya ini memberi kebebasan dan tiada pengawalan. Pemimpin hanya mementingkan kepada keberhasilan matlamat yang dipersetujui bersama. Gaya kepimpinan ini tidak sepatutnya berlaku di sekolah kerana ia akan menyebabkan guru mudah untuk mengambil kesempatan dalam membuat kerja dan tugas masing-masing. Gaya ini akan menyebabkan pandangan yang buruk apabila masing-masing bekerja mengikut keselesaan dan cara tersendiri seolah-olah tiada pengetua di sekolah.
Organisasi dan kepimpinan di sekolah
Setiap sekolah mempunyai carta organisasi dan kepimpinan yang tersendiri supaya semua aktiviti dan perancangan di sekolah dapat berjalan dengan lancar. Gamabr di atas merupakan contoh bagi carta organisasi di sekolah. Secara amnya, kita mengetahui organisasi di sekolah bermula dengan pengetua sehingga pembahagian tugasan berkelompok kepada guru-guru. Pertama, pengetua mempunyai bidang skop pekerjaannya tersendiri seperti pengetua bertanggungjawab dalam pengurusan, pentadbiran dan kewangan di sekolah serta memastikan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan dasar yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kedua, guru penolong kanan pentadbiran (GPK 1) akan bertanggungjawab kepada pengetua dalam hal kurikulum, pentadbiran dan membantu pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah.
Seterusnya, organisasi ketiga adalah guru penolong kanan hal ehwal (GPK HEM) murid yang bertanggungjawab kepada pengetua dalam perkara yang melibatkan kaunseling, keselamatan dan kebajikan pelajar serta penyeliaan asrama di sekolah. GPK HEM juga bertanggungjawab untuk menggantikan urusan pengetua dan GPK 1 jika mereka tiada di sekolah. Keempat, guru penolong kanan kokurikulum (GPK KOKU) mempunyai skop kerja seperti bertanggungjawab dalam menyelaraskan penubuhan aktiviti kelab dan persatuan serta melaksanakan aktiviti dan program mengikut takwim kokurikulum yang telah dirancang dan dibuat.
Selain itu, kelima iailah guru bimbingan dan kaunseling. Guru ini amat diperlukan di sekolah untuk memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada murid-murid di sekolah. Guru ini juga merupakan tempat rujukan untuk menilai program dan aktiviti pemberian maklumat yang sesuai untuk penawaran pensijilan terbuka serta kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk melanjutkan pelajaran. Akhir sekali, tugas-tugas khas kepada guru sebagai membantu mengukuhkan dan menguatkan gerak kerja dan aktiviti di sekolah seperti guru disiplin yang memantau segala tindakan dan salahlaku pelajar sepanjang di sekolah. Tambahan tugas juga kepada guru pusat sumber yang mengawal pergerakan keluar dan masuk murid serta peminjaman buku diperpustakaan.
Kepentingan pengurusan kepimpinan dan organisasi di sekolah
Pengurusan kepimpinan dan organisasi di sekolah amat penting dalam menjayakan gerak kerja dan membentuk sekolah ke arah kecemerlangan yang unggul. Antara kepentingan yang boleh diambil adalah melancarkan trasformasi sekolah menjadi sekolah yang mampu bersaing di peringkat global. Secara amnya, kita mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin membawa pendidikan di Malaysia ke mata dunia selaras dengan pendidikan di antarabangsa. Guru dapat mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi menjayakan hasrat KPM. Trasformasi sekolah ke arah sekolah yang cemerlang di peringkat antarabangsa perlu di ambil kira dalam membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid selaras dengan pendidikan semasa.
Selain itu, pengurusan kepimpinan dan organisasi sekolah dapat menghasilkan pemimpin yang berkualiti di sekolah. Pengetua merupakan pemimpin atasan yang bertanggungjawab dalam pengurusan, pentadbiran dan kewangan di sekolah. Maka, pengetua perlu mempunyai gaya kepimpinan yang berkaliber supaya setiap arahan yang diberikan dapat diikuti dan dipatuhi oleh guru-guru tanpa bantahan akibat daripada kepercayaan yang tinggi. Pengetua perlu memastikan proses PdP oleh setiap guru berjalan dengan lancar dan baik serta berkesan kepada murid-murid. Ini bertepatan dengan peranan pemimpin yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang mengatakan pemimpin sekolah merupakan pemimpin cemerlang yang bertindak sebagai ejen perubahan.
Seterusnya, kepentingan pengurusan kepimpinan dan organisasi di sekolah juga dapat membantu perkembangan murid secara holistik. Terdapat enam aspirasi murid untuk memastikan keberhasilan murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian. Elemen yang menjadi keutamaan untuk membentuk perkembangan murid adalah pengetahuan dan kemahiran memimpin serta etika dan kerohanian. Pengetahuan dapat diperolehi semasa proses PdP seperti menguasai matapelajaran teras yang disampaikan oleh guru atau di luar kelas melalui aktiviti di sekolah serta melalui pembacaan. Kemahiran memimpin pula dilihat daripada kebolehan memimpin seperti ketua kelas, pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber serta kebolehan untuk bekerjasama dalam kumpulan. Elemen etika dan kerohanian didapati melalui bimbingan guru untuk pembentukan sahsiah murid. Ini akan membantu untuk keberhasilan murid dalam perkembangan secara holistik.
Penutup
Kesimpulannya, topik ini berkisar mengenai gaya kepimpinan yang dibawa untuk melahirkan seoranng guru yang mempunyai jiwa pemimpin yang berkaliber dan cemerlang di sekolah. Topik ini juga menceritakan mengenai organisasi yang terdapat di dalam sesebuah sekolah mengikut carta dan skop kerja masing-masing. Kejayaan sebuah organisasi itu dilihat daripada pemimpin yang menerajuinya dan gerak kerja serta aktiviti yang dilakukan sama ada ia memperoleh kejayaan atau manfaatnya. Seorang pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mampu menonjolkan kewibawaannya dan diikuti oleh anak-anak buahnya seperti pengetua kepada guru-guru di bawahnya. Kepimpinan guru di sekolah merupakan tonggak kepada perubahan murid-murid di sekolah sama ada dalam akademik mahupun tingkah laku.
Rujukan
Baharuzaini Baharin, Muhammad Hisham Adnan, Mohd Hanif Mohd Zin, Mohd Norhisyam Kamaludin & Azlin Norhaini Mansor (2016), Gaya Kepimpinan Guru Besar Dan Tahap Efikasi Guru, Journal of Personalized Learning, 2(1), 9-17, https://spaj.ukm.my/jplearning/index.php/jplearning/article/view/38
Ghazali Din & Abu Hassan Abdul (2016), Kepimpinan Kesukarelaan Dalam Organisasi Kesusasteraan, Journal of Malay Language, Education and Literature, 7, 52-62, https:/ejournal.upsi.edu.my/index.php/PENDETA/article/view/1191/854
Jamelaa Bibi Abdullah & Normala Ahmad (2016), Amalan Kepimpinan dan Pengetua: Kajian Kes Pembukaan Sekolah Baharu di SMK Sri Layang, Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan, 30(2), 93-106, https://iab.moe.edu.my/bahanportal/penerbitan/IAB-Jurnal%20Pengurusan%20Pengurusan%20Jilid%2030_Bil%202.pdf.
Kamus Dewan: Edisi keempat (2007).
Kunalan Kuriaya (2016), Pengaruh Bimbingan School Improvement Partner (SIPartner) Terhadap Pencapaian Sekolah: Kepimpinan Pengetua Sekolah Sebagai Mediator, Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan, 30(2), 55-71, https://iab.moe.edu.my/bahanportal/penerbitan/IAB-Jurnal%20Pengurusan%20Jilid%2030_Bil%202.pdf.
Ulasan
Catat Ulasan