Topik 8 : Strategi Mengurus Bilik Pembelajaran


 

Definisi strategi

Strategi merupakan ilmu tentang cara-cara merancang secara teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Konsep pengurusan bilik darjah ialah guru sebagai pengurus rutin bilik pembelajaran, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah, mengurus bahan bantu mengajar, mengurus murid agar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dalam bilik darjah supaya dapat digunakan dengan berkesan dan terancang.

Definisi bilik pembelajaran

Menurut mohd hasani dali & Mohamad johdi salleh (2009), Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.

Definisi pengurusan bilik pembelajaran

Menurut Foziana Jamaludin et.al (2018), pengurusan  bilik  darjah  adalah  elemen  yang  paling  mencabar  dan kemahiran yang tinggi diperlukan dalam melaksanakannya. Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru   sahaja.   Pengurusan   bilik   darjah   yang   baik   juga   menyumbang   kepada   peningkatan pencapaian   akademik   pelajar.  Menurut Mohd Hasani Dali dan Mohamad Johdi Salleh, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.


Tujuan strategi pengurusan bilik pembelajaran




 Strategi yang dilakukan dalam menguruskan bilik darjah


Unsur Fizikal Bilik pembelajaran

    Persekitaran pembelajaran dan elemen di dalamnya dapat memberi impak kepada hasil pembelajaran kepada pelajar di sekolah. Menurut Che Nidzam Che Ahmad (2014), dalam suatu persekitaran pembelajaran, wujud hubungan yang kompleks antara struktur fizikal seperti penyusunan bilik, keluasan ruang, cahaya dan susunan meja dengan aspek psikologikal seperti interaksi guru dan pelajar. Penyusunan aspek fizikal dalam ruang pembelajaran boleh menghadkan atau menggalakkan interaksi dan juga mempamerkan perlakuan yang diharaokan oleh guru.

     Kedudukan tempat duduk pelajar tidak boleh diubah suai bagi menggelakkan berlakunya kekeliruan sewaktu belajar. Meja guru juga terletak dibahagian hadapan kelas, dan guru berada di sekitar meja pelajar bagi membantu dalam proses pembelajaran. Penyusunan perlu berkait rapat dengan strategi dan pendekatan pengajaran pembelajaran, ini kerana pengajaran secara berkumpulan adalah diutamakan.

Interaksi Dalam Bilik pembelajaran

     Bahasa ialah alat komunikasi dan perantara manusia. Menurut Abdul Rasid Jamian et.al (2013), Bahasa pertuturan seharian digunakan di sekolah sebagai alat komunikasi. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah adalah interaksi sosial yang paling berpengaruh di sekolah. Hal ini kerana guru-guru berinteraksi dengan murid secara individu hampir setiap hari. Pada masa kini, iklim P&P lebih menumpukan untuk mencorakkan tingkah laku dan perbendaharaan kata murid-murid. Secara lazimnya, sesuatu bahasa yang digunakan melambangkan realiti budaya. Kecekapan bahasa, terutamanya berkaitan lisan ia menunjukkan sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya tersebut.

    Interaksi sangat penting kerana ia dapat menentukan sama ada proses pengajaran di dalam kelas berjalan dengan baik. Jenis interaksi yang amat sesuai untuk digunakan semasa dalam bilik pembelajaran adalah interaksi dua hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid dan interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid.

Iklim Pembelajaran Positif

    Menurut Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006), Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Suasana bilik darjah yang kondusif penting bagi mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru hendaklah bijak dalam mengawal suasana emosi bilik darjah supaya pelajar dapat belajar dengan lebih selesa dan tanpa tekanan. Guru juga harus bijak mengawal intonasi suara iaitu jelas, terang, semula jadi, tidak tegang dan bercorak perbualan.

    Selain itu guru juga perlu menyelitkan unsur kelucuan dalam P&P supaya pelajar tidak mudah cepat bosan dan mengantuk ketika belajar di dalam kelas. Penggunaan alat bantu mengajar yang menarik juga perlu untuk meningkatkan lagi kefahaman pelajar ketika mempelajari sesuatu topik pembelajaran yang agak susah.


Kesan strategi pengurusan bilik pembelajaran

Kajian menunjukkan bahawa pencapaian murid adalah hasil daripada tindakan guru seperti merancang, mengurus dan mengajar. Dan pencapaian murid itu juga berdasarkan penglibatan, penguasaan dalam pembelajaran dan penyelesaian tugasan yang diberikan oleh guru. Menurut Cole (1994), bahawa kejayaan dan keberkesanan pengurusan bilik darjah bergantung kepada empat faktor yang perlu ada pada seseorang guru, iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran merancang dan mengurus, kemahiran mengajar dan keupayaan guru menggunakan motivasi dan pengukuhan. keempat-empat faktor ini mampu membantu seseorang guru itu untuk mengawal dan menguruskan bilik darjah dengan baik.

Seterusnya, pengurusan bilik darjah yang berkesan boleh menyumbang kepada daya pemikiran kreatif yang tinggi dikalangan murid. Hal ini berkaitan dengan corak penyusunan tempat duduk dan pengaturan bilik darjah. Penggalakkan murid- murid supaya aktif didalam bilik darjah adalah bergantung kepada corak penyusunan bilik darjah tersebut. Perkara ini memerlukan  perancangan dan pengurusan yang rapi oleh guru supaya perkongsian ilmu melalui perbincangan dapat dilakukan antara mereka dengan suasana yang selesa.

Selain itu, pengajaran dapat dilaksanakan  secara berkesan sekiranya seseorang  guru itu berkemampuan dalam mengurus bilik darjah secara fizikal, iklim, komunikasi dan pengawalan disiplin. Hal ini kerana, dapat membantu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar seterusnya objektif dan matlamat dapat dicapai.

Rumusan

Kesimpulannya, pengurusan bilik pembelajaran merupakan aspek penting yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran untuk memastikan kecemerlangan pelajar dalam menimba ilmu di dalam kelas yang kondusif, selesa, lengkap dengan peralatan dan keadah yang betul semasa proses PdP. Hal ini juga akan membuatkan para pelajar teruja untuk belajar sekiranya pendekatan yang digunakan oleh guru adalah betul.


Rujukan:

Abdul Rasid Jamian, Shamsudin Othman, Sufiza. (2013). Interaksi Lisan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM, Vol. 3, Bil. 1, 42-51.      Http://Journalarticle.Ukm.My/6370/1/42-51_Rasid_Et_Al.UPM.Pdf

Ahmad Zabidi Abdul Razak. (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap     Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan, 31, 3 - 19 Diperoleh Daripada Untitled-32 (Ukm.My)

Che Nidzam Che Ahmad, Saidatul Ainoor Shaharim & Asmayati Yahaya. (2016). Kesesuaian Persekitaran Pembelajaran, Interaksi Guru-Pelajar, Komitmen Belajar dan Keselesaan Pembelajaran Dalam Kalangan Pelajar Biologi. Jurnal Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 6. Diperoleh Daripada (PDF) Kesesuaian Persekitaran Pembelajaran, Interaksi Guru-Pelajar, Komitmen Belajar Dan Keselesaan Pembelajaran Dalam Kalangan Pelajar Biologi (Researchgate.Net)

Foziana Jamaludin, Mohamed Yusoff Mohd Nor, Mohd Izham Mohd Hamzah.(2018). Latihan Dalam Perkhidmatan: Pengurusan Bilik Darjah. Jurnal Wacana Sarjana, 2 (1), 1-12. https://Spaj.Ukm.My/Jws/Index.Php/Jws/Article/View/78/55



Ulasan