Definisi Pengurusan Sumber
Pengurusan sumber memainkan peranan yang amat penting bagi sebuah institusi pendidikan dan sebagainya. Hal ini kerana, pengurusan sumber merupakan salah satu tempat atau medium rujukan untuk mencari maklumat. Pengurusan sumber yang cekap dapat melahirkan individu yang berkualiti dan produktif. Konsep ini lebih memberikan tumpuan terhadap kaedah atau cara sesebuah organisasi mengurus dan mentadbir sumber manusia. Oleh itu, pengurusan sumber memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan sumber sesebuah organisasi itu berjalan lancar dan berdaya saing untuk mencapai matlamat tersebut.
Definisi Pengurusan
Menurut Buck (2010) pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai misi dan matlamat sesebuah organisasi atau kumpulan tersebut.
Sumber
Sumber pula bermaksud, sesuatu yang menjadi rujukan untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat atau carian. Sumber juga merupakan satu set bahan atau sistem yang diwujudkan bertujuan untuk memudahkan pembelajaran seseorang pelajar. Sumber boleh diklasifikasikan sebagai bahan atau tenaga yang diperlukan bagi melaksanakan sesuatu. Sumber terbahagi kepada 3 iaitu sumber primer, sumber sekunder dan sumber tertier.
Komponen pengurusan sumber
Pengurusan infrastruktur
Infrastruktur sekolah boleh menjadi ancaman keselamatan sekiranya tidak diurus dengan baik. Pengurusan aspek ini memerlukan pemantauan dan pemeriksaan rapi secara berterusan agar kawasan sekolah boleh menjadi tempat yang selamat dengan persekitaran yang kondusif sekaligus dapat menjamin keselamatan warganya. Aspek ini termasuklah pemantauan dan penyelenggaraan fizikal bangunan sekolah, pendawaian dan peralatan eletrik, landskap sekolah, tandas, bilik darjah, bilik-bilik khas, asrama, gelanggang permainan dan lain-lain.
Pengurusan sumber manusia
Menurut Bohlander et.al (2001), pengurusan sumber manusia
merangkumi penggabungan semua tenaga kerja yang pelbagai untuk mencapai
matlamat bersama. Ivencevich (2001) pula mentakrifkan pengurusan sumber manusia
sebagai fungsi yang dilaksanakan dalam organisasi bagi membantu memudahkan
penggunaan sumber manusia secara berkesan untuk mencapai matlamat organisasi
dan individu.
Disekolah, pengetua merupakan orang yang penting sebagai pengurus
sumber manusia untuk memastikan tiada kekurangan tenaga kerja bagi sesuatu
jangka masa tertentu. Selain itu, mereka juga harus menentukan kerja yang
diambil alih dan jumlah orang yang mampu menjalankan tugas tersebut. Pengetua
harus bijak dalam menggunakan kuasa dan mengagihkan tugas serta melantik orang
yang berkelayakan dalam menjalankan tugas-tugas yang penting dalam sekolah atau
organisasi pendidikan.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
Misi Kementerian Pelajaran Malaysia ialah membangunkan sistem pendidikan
yang berkualiti agar dapat melahirkan generasi yang mampu bersaing dalam era
globalisasi pada masa kini. Oleh hal demikian, guru merupakan peranan utama
sebagai pelaksana di peringkat sekolah untuk merealisasikan misi tersebut.
Namun begitu, pengurusan bilik darjah ialah elemen utama bagi pelaksanaan di
peringkat sekolah ini. Pengurusan bilik darjah yang baik dan sistematik akan
membantu meningkatkan keupayaan murid dalam pembelajaran.
Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan
atau kemahiran tertentu yang meliputi perkara seperti aktiviti perancangan,
pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Namun begitu, proses
pengajaran boleh dikatakan sebagai sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan
bersama oleh guru dan para pelajar. Pengajaran ini perlu dirancang oleh guru
secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik
yang sesuai bagi membimbing dan menggalakkan murid supaya mengambil bahagian
untuk belajar demi memperoleh ilmu dan kemahiran. Proses pengajaran pada abad
ke 21 ini adalah lebih berpusatkan kepada murid, yang mana bersesuaian dengan
era globalisasi yang menuntut perubahan dalam setiap aspek termasuklah dalam
bidang pendidikan. Oleh itu, dalam perancangan pengajaran, pendekatan , kaedah,
alat dan sumber yang digunakan haruslah bersesuaian dengan tahap kebolehan
pelajar bagi memastikan objektif dan matlamat pengajaran dan pembelajaran dapat
dicapai dengan cemerlang.
Pengurusan pusat sumber
Pusat sumber sekolah (PSS) adalah merupakan antara aspek penting dalam institusi pendidikan (Siti Hajar, 1998). Pusat sumber bukan sahaja berfungsi sebagai gedung ilmu atau pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat. Pusat sumber sekolah juga mampu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada para pengguna khususnya pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan rekreasi. Disamping itu, PSS juga berperanan untuk membina dan mengukuhkan kemahiran mencari maklumat dan seterusnya dapat melahirkan warga sekolah yang kreatif dan inovatif. PSS yang berkesan akan menjadi satu perkhidmatan yang terutama dan penting dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di mana mempersiapkan pelajar untuk menghadapi zaman teknologi maklumat serta memperkembangkan potensi para pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kepentingan Pengurusan Sumber
Fungsi pengurusan sumber
Pengurusan sumber berfungsi sebagai perancangan. Perancangan merujuk
kepada proses formal yang merangkumi aktiviti seperti memilih misi dan matlamat
keseluruhan organisasi untuk jangka masa pendek dan panjang. Perancangan juga
bertujuan untuk membentuk matlamat sesebuah organisasi, jabatan dan individu
dalam memilih strategi dan teknik dengan memperuntukkan sumber seperti manusia,
wang dan peralatan bagi mencapai matlamat tersebut.
Selain itu, Pengurusan sumber juga berfungsi sebagai
pengorganisasian. Pengorganisasian melibatkan pengagihan dan pengumpulan
tugas-tugas, pembentukan deskripsi kerja, pengagihan sumber-sumber kepada
jabatan dan staf. Pelan disediakan oleh pengurus atau pentadbir, dan
dilaksanakan oleh pekerja dengan menterjemahkan idea-idea abstrak tersebut
kepada realiti. Pengorganisasian yang berkesan dapat membantu pengurus dalam
menyelaraskan sumber-sumber manusia dan bahan dengan lebih baik. Kejayaan
organisasi bergantung keatas kebolehan pihak pengurusan dalam penggunaan
sumber-sumber organisasi secara cekap dan berkesan.
Akhir sekali, Kepimpinan juga merupakan salah satu fungsi
pengurusan sumber. Kepimpinan ini bertujuan untuk melengkapkan dan menjelaskan
struktur organisasi, membentuk misi dan strategi baharu untuk melakukan
perubahan dalam persekitaran luaran serta menyelaraskan usaha pelbagai pihak
dalam organisasi serta memotivasikan pekerja ke arah pencapaian matlamat
organisasi.
Rumusan
Kesimpulannya, pengurusan sumber dalam bidang pendidikan mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pengajaran yang telah diajar kepada mereka. Disamping itu, penyampaian guru akan lebih berkesan berpandukan sumber sebagai rujukan yang pelbagai dan dijadikan sebagai persediaan untuk mengajar. Pengurusan sumber merupakan aspek penting dalam pengurusan pembelajaran, pengurusan pusat sumber amat penting kerana ianya salah satu bantuan dalam sistem pembelajaran. Pengurusan sumber manusia turut berupaya memastikan kelestarian sesebuah organisasi.
Rujukan:
Sobariah Awang Mukhtar. (April,2009). Peranan Pihak Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Ke Arah Pembestarian Sekolah, Tinta, (17), 63-72.https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/13987/
Kamarul Azmi Jasni, Mohd Faeez Ilias, Ab.Halim Tamuri, Mohd Izham Mohd Hamzah. (2011). Amalan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Dalam Kalangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah Di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education, 3 (1), 59-74. http://journalarticle.ukm.my/2370/1/25.pdf
Azharuddin Hashim, Nursyazana Zolkifli, Norziah Othman, Nadwatul Husna Mustapha. (2016). Hubungan Amalan Pengurusan Sumber Manusia dan Komitmen Organisasi. Proceeding of the 2nd International Conference On Economics & Banking 2016 (2nd ICEB). http://conference.kuis.edu.my/iceb2016?eproceedings/EB026.pdf
Ulasan
Catat Ulasan